Monday, March 28, 2011

Ramalan Nasib , Horoskop....

Misteri Tuah dan Sial Di Hujung Jari

Nombor-nombor tertentu dipercayai memiliki tuah dan sial tersendiri menurut tukang ramal

Contoh formula kiraan tarikh lahir bagi meramal karektor dan nasib seseorang individu

Contoh penggunaan simbol-simbol susunan bintang dalam ramalan horoskop/zodiak oleh masyarakat Greek kuno

Contoh kompas yang digunakan dalam amalan Feng Shui masyarakat cina


Masyarakat Cina mempercayai simbol-simbol haiwan dalam kalendar mereka memiliki rahsia tuah tersendiri

Masyarakat Greek kuno  mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang, dan matahari mampu menterjemahkan karektor serta nasib-nasib mereka dalam kehidupan. Ini adalah apa yang dikenali sebagai ramalan horoskop atau susunan bintang yang dibahagikan menurut kumpulan tarikh tertentu kepada Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, dan seterusnya.

Masyarakat Cina kuno pula, mereka terkenal dengan ramalan tapak tangan dan feng shui. 

Dalam Islam, amalan seperti ini adalah termasuk perbuatan meramal nasib yang disebut sebagai tathayyur atau thiyarah. Lebih spesifik, tatahayyur atau thiyarah ini merujuk kepada memiliki suatu keyakinan atau perasaan kesialan disebabkan oleh sesuatu. Ini termasuklah juga dengan mempercayai tarikh atau bulan-bulan kelahiran dalam rangkaian kalendar tertentu mampu mendatangkan sial atau rezeki.

Dari aspek aqidah Islam, amalan tathayyur ini termasuk perbuatan dan kepercayaan syirik yang dilarang keras kerana ia bertindak menafikan dan menghancurkan unsur-unsur tauhid dari beberapa sisi. Antaranya, ia menghilangkan rasa tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia mengheret manusia yang mempercayainya kepada sesuatu yang bukan realiti sama ada khurafat, takhayyul, atau lainnya dari sesuatu yang tidak pasti. Sehingga hidup mereka akhirnya dikawal dan ditentukan oleh sesuatu yang tidak wujud. Kemuncaknya, aspek keimanan terhadap qadha dan qadar Allah pun dihancur-luluhkan.

Orang yang selalu bergantung harap kepada ramalan nasib seperti tathayyur ini kebanyakan jiwa mereka akan merasa tersiksa, malas, gembira tidak tentu pasal, khayal, tertekan, sempit, gelisah, dan mudah terkesan dengan apa jua yang berlaku di sekitarnya. Sehingga apabila sampai peringkat kronik, mengakibatkan kemurungan, ketakutan, hilang kebahagian hidup, atau mungkin akhirnya hilang kewarasan.

Pada hari ini, perkara yang sama terus berlaku. Selain asas amalan mempercayai tuah dan nasib tertentu melalui praktik seperti feng shui, ramalan tapak tangan, horoskop, tuah nombor tertentu, warna-warna, dan bulan-bulan kelahiran, ia kini dikembangkan pula dengan pelbagai aplikasi canggih dalam rangkaian maya (internet). 

Walaupun demikian, hukumnya tetap sama. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah menegaskan:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

"Sesiapa sahaja yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam." (Hadis Riwayat Muslim, 11/273, no. 4137)

Fahamilah bahawa apabila bertanya (termasuk untuk suka-suka) sahaja sudah diancam dengan ditolaknya amalan solat, apatah lagi mempercayainya?

Dari itu, berhati-hatilah dengan apa jua konsep ramalan seperti ini. Kerana ia termasuk kategori perbuatan syirik yang mampu meleburkan segala bentuk nilai amalan kebaikan yang pernah kita usahakan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amalan-amalan kebaikan yang telah mereka usahakan." (Surah al-An'am, 6: 88)

Lebih perlu waspada adalah apabila sebaran idea-idea ramalan ini kini mula diolah dengan bahasa-bahasa bombastik dan alasan-alasan seakan ilmiah menggunakan nama agama. Sebahagian besar dari umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan bentuk-bentuk ramalan seperti ini mungkin kerana kurangnya pendedahan dan pemahaman terhadap konsep aqidah yang benar. Tambahan, perkara ini terus tersebar tanpa sebarang sekatan.

Maka, jauhilah amalan-amalan seperti ini. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

"Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani, al-Baihaqi, dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Haitsami, dan al-Albani)

Maka, cukupkanlah diri kita sebagai umat Islam di atas agama-Nya, tulusnya doa, kekuatan usaha, dan buah tawakkal sebagaimana anjuran syari'at. Ini semua mampu difahami dengan mengimani konsep rububiyyah, uluhiyyah, al-asma' wa ash-shifat, serta qadha dan qadar Allah yang benar. Sayangilah aqidah, amalan, dan agama kita. Jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan kepercayaan-kepercayaan karut seperti ini. Wallahu a'lam.

1 comment:

ANNAS said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...