Tanda 3
Salahkan hujanTanda ketiga yang anda perlu perhatikan ialah ‘ tidak bawa payung, salahkan hujan’. Ini adalah ditujukan kepada pelajar yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri.
Saya pernah coretkan sedikit tulisan mengenai tanda ini hampir 2 tahun lalu di blog ini. Apa kata kita lihat kembali. Ketika itu saya tulis, ‘anda adalah orang yang sangat malang jika…
  • Anda terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu anda memaki hamun tunggul tersebut kerana? berada di tengah jalan anda.
  • Anda terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu anda salahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
  • Anda dirotan kerana merokok di sekolah lalu anda menyalahkan pekedai runcit di tempat anda kerana menjual rokok tersebut kepada anda….
  • Anda gagal dalam peperiksaan Matematik lalu anda mengamuk pada kawan anda kerana tidak membenarkan anda meniru beliau.
  • Anda menconteng dinding-dinding atau tempat awam kerana anda rasa tidak ada orang mahu mendengar apa yang Salahkan hujananda hendak katakan.
  • Anda tidak mahu belajar subjek Sejarah dengan bersungguh-sungguh kerana anda rasa cikgu Sejarah anda suka pilih kasih.
  • Anda kalah dalam perlawanan badminton lalu anda salahkan syarikat pembuat raket badminton anda kerana produk tidak berkualiti.
Mungkin situasi yang saya bayangkan kelihatan agak ekstrem dan keterlaluan. Anda tidak mungkin mempunyai ciri-ciri begitu bukan? Namun pernahkah anda ada rasa anda dapat gred yang tidak baik kerana pensyarah anda membosankan, tidak pandai menarik perhatian dan tidak pandai menerangkan sesuatu dengan jelas? Pernahkah anda merungut atau terfikir, “pensyarah aku ni tak pernah belajar teknik presentation ke?” Akibat rungutan ini, anda mula tidak berminat apa yang pensyarah anda ajarkan. Apa kata kita lihat situasi sebenar di universiti pula.
  • Anda pilih untuk duduk kerusi paling belakang dewan kuliah dan kemudian merungut suara pensyarah terlalu perlahan.
  • Anda tidak membaca bahan bacaan asas untuk kuliah dan kemudian merungut pensyarah mengajar terlalu laju.
  • Anda lewat 15 minit ke kuliah dan merungut apa yang diajarkan terlalu sukar difahami.
  • Anda tidak pernah berjumpa pensyarah untuk bertanya apa yang diharapkan dalam assignment yang diberi. Apabila mendapat keputusan yang tidak memuaskan, anda kata pensyarah ini kedekut markah dan pilih kasih.
  • Anda tidak membuat persiapan rapi untuk presentation lalu gugup dan terlalu gementar semasa sesi presentation. Anda salahkan pensyarah kerana mewajibkan presentation.
Apa kata hari ini anda fikirkan sejenak semua rungutan dan keluhan yang pernah diluahkan atau terlintas di hati anda. Fikirkan juga jika ini adalah tanda bahawa anda akan gagal di universiti.