Apa definisi ‘bersosial’ bagi kalangan pelajar kampus, yakni pelajar kolej dan universiti?.
Amat jarang sekali ‘bersosial’ dikaitkan dengan mereka, kerana mereka berselindung di sebalik kedudukan terpelajar mereka. Jika kebanyakan mat rempit dan bohsia di luar sana memang terang-terangan ‘bersosial’ di sebalik kejahilan dan persekitaran kotor mereka, pelajar kampus ‘bersosial’ di sebalik diploma atau ijazah mereka dengan persekitaran yang suci!
Cara hidup kebanyakan orang di kampus memang amat menggusarkan. Jikalaulah mak bapak tahu kehidupan sebenar anak-anak mereka di sana, nescaya mereka takkan merelakan anak-anak mereka pergi membawa segulung diploma atau ijazah. Biarlah anak-anak membantu menoreh getah atau menanam padi daripada hanyut dengan kehidupan 'bersosial' begitu. Mungkin sewaktu di kampung halaman, mereka menyelia penuh kawalan terhadap anak-anak mereka, namun apabila berada di kampus, anak-anak mereka mula memberontak, menunjukkan wajah sebenar.
Kehidupan di kampus bukan sekadar di dalam kelas atau dewan kuliah. Percayakah anda, segala pembelajaran tadi hanya meliputi tidak lebih daripada 10% dan selebihnya adalah kehidupan 'bersosial'nya. Tambah-tambah lagi, kebanyakan kolej dan universiti membuka pintu 24 jam, 7 hari seminggu, maka inilah peluang terbesar buat mereka untuk menikmati kehidupan sebenar. Mereka bagaikan terkena kejutan budaya, sering mengadakan aktiviti mingguan secara beramai-ramai, tidak kira bercampur lelaki dan perempuan. Pada minggu ini mereka berkira-kira hendak ke I-city, kemudian minggu depan bercadang-cadang ke Bukit Broga, kemudian minggu lagi satu pula berjanji-janji untuk berkelah ke Sungai Gabai (mandi bersama?). Trend ini menjadi ikutan apabila koleksi gambar-gambar mereka, tanpa segan silu dijaja ke dalam facebook, blog dan sebagainya untuk mempromosikan segala bagai kehidupan 'bersosial' mereka.
Di kalangan mereka yang keluar beramai-ramai tadi, wujud hubungan kasih sayang yang terjalin secara 'tidak sengaja'. Maka sesetengah daripada mereka terbuka pintu kearah bercouple atau kadang-kadang mereka namakan sebagai buddy, abang angkat, kakak angkat, adik angkat dan sebagainya. Ini merupakan pengalaman yang wajib buat kebanyakan pelajar kampus dan sesiapa yang tidak bercouple dikira ketinggalan zaman. Pasangan couple ini disamping keluar secara beramai-ramai, mereka turut inginkan privasi keluar secara berpasang. Pada mulanya mereka berdating adalah atas nama study group, tetapi lama-kelamaan akan menjurus ke bilik hotel!
Maka terkeluarlah persoalan mengapa aktivis masyarakat terlalu menumpukan perhatian ke atas mat dan minah rempit untuk mengatasi masalah gejala pembuangan bayi? Maka tak perlu nak dihairankan, sedangkan pelajar kampus adalah golongan terpelajar yang tahu selok belok bagaimana hendak mencegah kehamilan, maka jarang sekali mereka meninggalkan bukti (bayi)! Mereka juga bijak mencari port baik, maka sekali lagi JAIS dan lain-lain jabatan agama jarang dapat mengesan mereka. Jadi, yang selalu menjadi ‘kambing hitam’ adalah mat dan minah rempit yang sememangnya dungu.
Muhasabah diri sendiri
Kita bukanlah ingin terus anti ‘bersosial’, hanya duduk di dalam bilik untuk menelaah buku sahaja. Malah, sememangnya fitrah manusia memiliki keharusan untuk bergaul sebagaimana Allah SWT telah berfirman:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya)” (Surah al-Hujurat: 13)
Tetapi sudah menjadi keperluan setiap pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dibatasi oleh ketetapan syarak. Pergaulan hendaklah atas dasar keperluan dan kepentingan. Jadi, pertembungan sewaktu kuliah, kelas dan perbincangan memang tidak dapat dielakkan. Mungkin ada sedikit kelonggaran diberikan buat penemuan yang jarang berlaku atas alasan reunion dan sebagainya. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kebatasan pergerakan para muslimah:
“Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
"Janganlah kamu menegah perempuan keluar untuk pergi ke masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka." (Hadis Riwayat Ahmad).
"Solat Jumaat adalah hak yang diwajibkan keatas setiap orang Islam kecuali empat : Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Apabila pertembungan itu berlaku atas keperluan dan kepentingan yang tertentu, maka etika pergaulan hendaklah dipatuhi. Masing-masing seharusnya memainkan peranan dalam menjaga penglihatan dan kehormatan mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
“Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu" (Surah al-Ahzab: 53)
"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka... dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka" (Surah an-Nur: 30-31)
"Dan janganlah kamu berkata lembut dan manja serta melunakkan suaramu ketika berbicara sehingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah dengan perkataan yang baik." (Surah al-Ahzab: 32)
Selepas ini, disamping anda menyumpah seranah mat rempit, pengkid, pelacur dan sebagainya, tunduk sebentar dan palinglah kepada diri anda. Adakah anda serupa dengan mereka?
*’Bersosial’ juga boleh diertikan sebagai
PERGAULAN BEBAS
1 comment:
memang tak dinafikan....semua yang dibacarakan dalam entri ini benar2 belaka...cewahhh ayat! hehehe
Post a Comment